Thursday 4 October 2012

SAKIT JANTUNG

SAKIT JANTUNG



Penyakit jantung sudah tidak asing bagi masyarakat negara ini. Ia disifatkan sebagai silent killer atau pembunuh senyap dan mencatat angka kematian tertinggi apabila sejumlah 4,457 pesakit itu mati di hospital kerajaan.

Kadar kematian akibat serangan jantung adalah 8.89 orang bagi setiap 100,000 penduduk negara ini.

Pakar Perunding Kardiologi di sebuah pusat perubatan swasta di ibu negara, Dr A Shatar Dahan, berkata prevalens penyakit jantung di negara ini mungkin lebih tinggi daripada apa yang dijangkakan kerana insiden baru mungkin bertambah berdasarkan statistik sedia ada.

Beliau berkata, punca utama peningkatan itu ialah tabiat merokok, tabiat pemakanan yang tidak begitu sihat, kurang bersenam, kegemukan, stres dan genetik.




Punca utama penyakit jantung
  • Tabiat merokok:
    Lebih 50 peratus individu lelaki didapati merokok sejak usia belasan tahun. Rokok mengandungi lebih daripada 4,000 bahan kimia termasuk nikotin, tar, karbon monoksid dan pencemar lain.

    Kesan jangka pendek yang boleh dialami ialah kadar degupan jantung lebih laju, tekanan darah semakin naik disebabkan rangsangan hormon adrenalin.

    Saluran darah menyempit manakala komponen darah seperti fibrinogen dan platelet berubah dan bertindak menjadi lebih pekat dan cenderung kepada trombosis dan kapasiti hemoglobin untuk mengangkut oksigen turut terjejas.

    Bagi tempoh jangka panjang pula, dinding saluran darah boleh mengalami kerosakan dan ini akan mempercepatkan proses arterosklerosis atau trombosis sekali gus mendedahkan pesakit kepada serangan jantung dan strok.

    Perokok pasif pula menghidu kimia yang sama dan mengalami risiko sakit jantung, strok dan barah.
  • Tabiat pemakanan yang tidak begitu sihat.
    Terlalu banyak makan, terutama makanan berlemak, berminyak dan manis, tinggi kalori, tidak seimbang, tidak pelbagai sebagaimana yang boleh ditemui dalam diet Mediterranean.
  • Kurang senaman.
  • Kegemukan atau obesiti. Lebih 20 peratus rakyat negara ini mengalami masalah itu.
  • Prevalens kolesterol dan diabetes yang tinggi di kalangan rakyat negara ini.
  • Faktor sosial dan pendidikan iaitu kurang peka dengan penjagaan kesihatan diri.
  • Stres dalam kehidupan harian.
  • Tekanan sosial ketika menghadapi persaingan di dalam negara yang pesat membangun.
  • Mungkin ada faktor genetik yang menyebabkan orang Asia lebih cenderung kepada serangan jantung pada peringkat umur yang lebih awal berbanding masyarakat Barat.
Penyakit jantung sering dikaitkan dengan lelaki tetapi wanita khususnya mengalami menopaus atau putus haid, hiperkolesterolemia, perokok dan penghidap diabetes juga mempunyai risiko yang tinggi diserang penyakit ini.

Malah, keadaan mereka lebih serius berbanding lelaki. Statistik membuktikan bahawa wanita mempunyai kadar lebih tinggi untuk menghidapi diabetes, strok dan kelemahan ginjal.

Wanita juga lebih terdedah kepada masalah trombosis (pembekuan darah), sesuatu keadaan yang memungkinkan untuk berlakunya serangan jantung.

Tidak dinafikan bahawa diagnosa penyakit jantung lewat dikenal pasti dan ditangani di kalangan wanita kerana pemikiran orthodoks bahawa ia jarang berlaku pada wanita.

Data membuktikan bahawa 38 peratus wanita berbanding 25 peratus lelaki meninggal dunia satu tahun selepas serangan jantung yang pertama.

Ada kemungkinan wanita kurang menerima perhatian perubatan pada peringkat awal sehingga penyakit sudah menjadi terlalu ketara apabila berjumpa doktor.

Kajian di luar negara mendapati wanita juga kurang mendapat perhatian dan pertolongan perubatan yang lebih cepat dan khusus.

Sehubungan itu, penyakit kardiovaskular adalah di antara penyakit pembunuh utama wanita. Ini bercanggah dengan pendapat dan persepsi golongan itu.

Berdasarkan kajian di Amerika Syarikat, kurang daripada 10 peratus wanita menyangka bahawa penyakit jantung adalah pembunuh utama. Malah, berdasarkan kajian itu, seorang daripada dua wanita meninggal dunia disebabkan penyakit jantung berbanding seorang daripada 27 wanita menemui ajal akibat kanser payu dara.

Dr A Shatar berkata, 1:1000 wanita berusia 25 hingga 44 tahun biasanya mengalami penyakit jantung.

Katanya, kadar itu meningkat 4:1000 apabila wanita berusia 45 hingga 54 tahun kerana dalam tempoh itu mereka selalunya mengalami pramenopaus dan menopaus.

Beliau berkata, risiko penyakit jantung juga akan meningkat hingga tiga kali ganda selepas wanita menopaus.

“Sebelum menopaus, risiko penyakit jantung di kalangan wanita lebih rendah berbanding lelaki berikutan kesan perlindungan hormon estrogen yang dikeluarkan ovari.

“Hormon itu mempunyai kesan baik ke atas paras kolesterol dalam darah. Bagaimanapun, kuasa perlindungan ini hilang selepas menopaus menyebabkan kolesterol terlekat pada dinding saluran darah.

“Keadaan inilah menjadikan wanita mempunyai risiko tinggi untuk diserang penyakit jantung selepas menopaus,” katanya.

Beliau berkata, wanita juga lebih terdedah kepada penyakit jantung dan serangan jantung selepas menjalani pembedahan ovari berikutan kekurangan estrogen.

“Kekurangan estrogen menyebabkan berlakunya arterosklerosis atau penyumbatan saluran darah pada jantung dan otak," katanya.

Dr A Shatar berkata, secara biologikal pula jantung dan arteri wanita lebih kecil daripada lelaki dan keadaan ini turut mendedahkan golongan itu kepada risiko penyakit jantung, terutama selepas menopaus.

“Apabila wanita mengalami sakit jantung, mereka selalunya sudah berusia dan menghidap beberapa penyakit lain. Ini sekali gus menyebabkan tubuh mereka sukar melawan penyakit berkenaan,” katanya.


Simptom penyakit jantung:

Sering kali penyakit jantung tidak mempunyai gejala dan kesan dan sukar hendak dibezakan daripada penyakit lain. Antara simptom yang boleh dialami ialah:

  • Berdebar-debar dan cemas.
  • Panas atau perasaan menekan di dada.
  • Mudah letih dan mengah.
  • Bengkak pada pergelangan kaki.
  • Kesakitan pada ulu hati seperti penyakit gastrik.
  • Selalu pengsan.
 
 
 

KETAHUI KHASIAT & KEHEBATAN JELI GAMAT GOLD DI SINI !!!

 

No comments:

Post a Comment