Thursday 4 October 2012

KENALI PUNCA BATUK


BATUK - KENALI PUNCANYA


Batuk adalah tindak balas semula jadi badan untuk mengeluarkan benda asing, sama ada kahak, lendir, debu mahupun asap, yang mengganggu dan menyebabkan kerengsaan pada saluran pernafasan atas. Namun, biasanya batuk disebabkan keradangan salur pernafasan yang berpunca daripada jangkitan virus.

Mungkin ramai tidak tahu, batuk dibahagi kepada dua jenis — produktif dan tidak produktif.

Batuk produktif dikelaskan sebagai batuk berkahak atau berlendir yang mengalir masuk ke belakang kerongkong dari rongga sinus di tengkorak atau dari paru-paru.

Justeru, batuk jenis ini tidak perlu dibimbangkan kerana ia membersihkan paru-paru daripada lendir atau mukus yang tidak diperlukan dan boleh menjejaskan kelancaran proses pertukaran udara ketika bernafas.

Beberapa punca menyebabkan kita boleh mendapat batuk produktif iaitu:

# Penyakit akibat serangan virus — seperti ketika selesema. Batuk apabila selesema adalah perkara biasa yang disebabkan kehadiran mukus di dalam kerongkong.

# Jangkitan pada paru-paru atau saluran pernafasan juga boleh menyebabkan batuk. Dalam kes ini batuk boleh menjadi tanda kepada pneumonia (keradangan paru-paru), bronkitis (keradangan bronkiol iaitu saluran yang membawa udara ke paru-paru), sinusitis (keradangan rongga sinus) atau tuberkulosis

# Penyakit paru-paru kronik — seperti Penyakit Sekatan Pulmonari Kronik (COPD) yang biasanya berlaku pada perokok tegar dan akan menjadi lebih buruk jika turut mengalami jangkitan

# Pedih ulu hati — akibat asid gastrik dalam perut mengalir secara songsang memasuki esofagus (saluran makanan) dan menyebabkan anda batuk

# Cecair hidung masuk ke dalam kerongkong

# Merokok — biasanya batuk menandakan paru-paru perokok mengalami kerosakan atau keradangan pada kerongkong akibat asap rokok

Batuk tidak produktif pula ialah batuk yang tidak berkahak. Batuk yang kering ini biasanya terjadi pada penghujung selesema atau selepas terdedah kepada bahan yang boleh menyebabkan keradangan pada saluran pernafasan seperti habuk dan asap.

Batuk tidak produktif boleh disebabkan oleh:

# Jangkitan virus (menyebabkan batuk berpanjangan selama beberapa minggu selepas selesema)

# Spasma (pengecutan tidak terkawal) pada bronkiol di paru-paru. Antara tandanya ialah batuk pada waktu malam

# Alahan — Selain batuk, ia menyebabkan seseorang itu kerap bersin

# Terdedah pada punca yang menyebabkan keradangan

# Asma — biasanya batuk bertambah teruk pada waktu malam atau awal pagi

Sebenarnya, batuk adalah tindakan yang memerlukan banyak tenaga. Ia juga dianggap satu tindak balas badan yang ‘kuat’ untuk menyingkir bahan penyebab kerengsaan pada saluran pernafasan.

Batuk juga dianggap masalah kesihatan yang boleh menyebabkan komplikasi, terutama kepada individu yang sememangnya sakit. Selain menjejaskan tidur, batuk membuatkan seseorang menjadi cepat letih.

Antara komplikasi batuk yang perlu diambil kira ialah:

# Luka pembedahan terbuka semula

# Menyebabkan otot menjadi tegang (jika batuk terlalu teruk)

# Mengakibatkan inkontinens (tidak dapat menahan pengeluaran air kencing atau najis)

# Menyebabkan kerosakan pada tulang rusuk yang cedera, terutama wanita

# Menyebabkan masalah saraf seperti pening, sakit kepala, tekanan darah rendah dan melemahkan jantung

Justeru apabila batuk, kita disaran segera mengambil ubat supaya masalah ini tidak berpanjangan.

Pilih ubat batuk yang sesuai dengan masalah anda, sama ada produktif (berkahak) atau tidak produktif (tanpa kahak).

Namun bagaimana caranya untuk memastikan ubat batuk itu benar-benar bersih dan steril kerana dalam kebanyakan kes, batuk itu sendiri disebabkan jangkitan?

Caranya mudah iaitu dengan memastikan ubat batuk yang anda pilih diproses dan disediakan melalui teknologi i-ROAR.

Dalam teknologi ini ubat batuk dihasilkan menggunakan air osmosis berbalik bersama bahan yang dirumus mengikut piawaian antarabangsa.

Paling penting, semua ubat batuk yang menggunakan teknologi ini didatangkan dalam pek tersendiri

Jadi, apabila anda berjumpa doktor untuk mendapatkan ubat batuk, buat pilihan bijak. Jika boleh, elak menerima ubat batuk yang diisi semula ke dalam botol kecil tanpa label khas kerana anda yang sudah menderita batuk boleh terdedah kepada jangkitan lain!

Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN (Metro)

No comments:

Post a Comment